Showing posts with label scam (penipuan). Show all posts
Showing posts with label scam (penipuan). Show all posts

Thursday, 5 September 2019

Kes-kes penipuan melalui telefon yang menyebabkan kerugian paling besar di Malaysia pada 2019

Kes-kes penipuan melalui telefon yang menyebababkan kerugian paling besar di Malaysia:
1. Kerugian tertinggi yang dilaporkan adalah sebanyak RM1,294,599.55. Mangsa 1/L Cina berumur 34 tahun dan bekerja sebagai juruterbang. Mangsa dihubungi oleh saspek yang menyamar sebagai polis IPK Sabah. Mangsa dimaklumkan aset akan dibekukan oleh mahkamah untuk tujuan siasatan. Mangsa telah membuat transaksi sejak Jun 2019.

2. Kerugian kedua tertinggi adalah sebanyak RM710,095.00. Mangsa 1/P Cina beumur 59 tahun merupakan kerani syarikat. Dihubungi oleh saspek menyamar dari pejabat Pos Malaysia. Pengadu dikatakan ada menghantar kad pengenalan, kad bank dan salinan kad pengenalan ke Sabah. Talian disambungkan ke IPK Perak dan dikatakan salah seorang dari 240 orang yang terlibat dalam penggubahan wang haram. Mangsa menyerahkan maklumat perbankan internet kepada saspek.

3. Kerugian ketiga tertinggi adalah sebanyak RM550,000.00. Mangsa 1/P Cina berumur 60 tahun dan merupakan pengarah syarikat. Mangsa telah membuat transaksi wang sejak Julai 2019 apabila dihubungi oleh saspek menyamar polis. Mangsa dikatakan terlibat penggubahan wang haram. Mangsa telah membuka akaun baru dan meneyrahkan maklumat perbankan kepada saspek.

Ada kes-kes melibatkan kerugian RM100-200 ribu ke atas.

Wednesday, 4 September 2019

2 lagi jadi mangsa Macau Scam, rugi RM36,399

(Utusan Online, 4 September 2019)

KEPALA BATAS, Pulau Pinang - Sindiket penipuan menerusi telefon atau Macau Scam di negeri ini terus mengaut keuntungan apabila dua lagi individu menjadi mangsa di sini membabitkan kerugian kira-kira RM36,399.

Dalam kejadian semalam, seorang jurujual berusia 24 tahun ditipu sebanyak RM21,300 selepas menerima panggilan daripada individu mendakwa pegawai pos dari Kuantan yang memaklumkan terdapat barangan atas namanya yang cuba dihantar ke Kota Kinabalu ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang mendakwa anggota polis berpangkat Sarjan dari ibu pejabat polis Kuantan.
Katanya, pegawai polis itu memberitahu mangsa yang mana kes tersebut masih dalam siasatan dan memintanya tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan dia merupakan suspek dalam kes tersebut .
Tambahnya, mangsa juga diminta memberikan segala maklumat akaun simpanan miliknya kononnya bagi tujuan siastan dan untuk mengelakkan pembekuan aset.
"Disebabkan terkejut dan terlalu takut dengan maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang miliknya dan dimasukkan ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa melakukan sebanyak tiga transaksi wang ke tiga akaun bank berjumlah RM 21,300 bermula pada 16 hingga 25 Ogos lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, mangsa yang berasa curiga dan tertekan kemudiannya menceritakan hal tersebut kepada rakannya sebelum dimaklumkan dia telah menjadi mangsa sindiket Macau Scam dan membuat laporan polis.
Sementara itu, katanya, dalam kejadian berasingan seorang kerani kerugian RM15,099.70 selepas diperdaya individu yang mengaku pegawai bank kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM7,000.
"Dalam kes ini, mangsa telah berbual hampir dua jam melalui telefon dan menyerahkan dua kali nombor TAC yang diterima melalui telefon bimbitnya kepada suspek selain diminta untuk tidak mengakses apa-apa akaun miliknya kerana bimbang mengganggu siasatan," katanya.
Jelas Noorzainy, mangsa yang berasa curiga kemudiannya melakukan semakan akaun bank dan mendapati wangnya sudah tiada sebelum membuat laporan polis.
“Bagi kedua-dua kes ini, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket menerusi telefon.
Katanya, orang ramai diingatkan tidak sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya mengubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan.
Tambah beliau, orang ramai juga tidak sepatutnya mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali. - UTUSAN ONLINE

Tuesday, 3 September 2019

Sindiket pinjaman wang tidak wujud tumpas, tujuh ditahan


(Kosmo, 3 September 2019)

SHAH ALAM - Kegiatan licik sekumpulan penjenayah memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian RM638,000 di seluruh negara akhirnya tumpas hasil serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Puteri Klang di sini, Khamis lalu. 
Serbuan pukul 4.15 petang itu berjaya menahan tujuh warga tempatan ditahan membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 27 tahun.
Operasi itu dilakukan oleh sepasukan dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. 
Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah mengiklankan tawaran pinjaman wang di media sosial dengan cara mudah tanpa melalui prosedur rumit.
Katanya, mereka yang telah beroperasi sejak enam bulan lalu itu mempunyai 95 kes di seluruh negara dengan kerugian RM638, 000 dengan 16 kes dilaporkan di sekitar negeri ini yang mengakibatkan kerugian RM140,000. 
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran pinjaman itu akan diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang kononnya sebagai bayaran peguam dan caj tertentu. 
"Bagaimanapun, selepas mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sindiket didapati tiada sebarang wang diterima oleh mangsa,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 
Fazlisyam menambah, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia 20 hingga 30 tahun yang memerlukan wang segera bagi menampung keperluan hidup.
Ujar beliau, golongan muda ini dijadikan sasaran susulan mudah terpedaya dengan tawaran sindiket ini. 
"Hasil siasatan turut mendapati rumah teres itu dijadikan tempat operasi sindiket sejak dua minggu lalu dan mereka  sentiasa berpindah-randah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
"Kesemua suspek juga diupah dengan bayaran RM1, 500 sebulan bagi menjalankan operasi mereka," katanya. 
Mengulas lanjut, Fazlisyam menjelaskan pihaknya turut merampas 14 buah telefon bimbit, 12 kad pengeluaran wang automatik (ATM), simkad (enam) serta dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton FLX.
"Ketujuh-tujuh suspek kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegas beliau. - K! ONLINE

Sunday, 7 April 2019

Kerani di Sri Aman rugi RM159,450 ditipu African Scam


4 April 2019 (Kosmo Online)

KUCHING - Seorang kerani insurans di Sri Aman menjadi mangsa kes penipuan terbaharu melibatkan sindiket African Scam dengan kerugian RM159,450.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak,Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, wanita berusia 40 tahun itu diperdaya oleh seorang lelaki warga Amerika melalui laman sosial Facebook dan aplikasi  WhatsApp untuk melakukan beberapa transaksi bayaran yang dibuat dari Julai 2017 sehingga Disember 2018.
"Suspek memberitahu telah ditahan pihak kastam dan memujuk mangsa untuk melakukan beberapa pembayaran segera kepada akaun banknya, antara tujuannya bagi membayar denda, mengaktifkan visa tamat tempoh dan mengaktifkan akaun bank mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustafa Kamal Gani berkata setelah pembayaran dilakukan, lelaki tersebut terus tidak dapat dihubungi dan mangsa kemudian tersedar dirinya telah ditipu.
Beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang melayari media sosial agar sentiasa peka supaya tidak mudah menjadi mangsa sindiket penipuan African Scam itu.  
Orang awam boleh melayari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) rmp.gov.my, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ccid.rmp.gov.my dan Facebook JSJK Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seupamanya. - Bernama
4 April 2019 (Kosmo Online)

Link:

Wednesday, 3 April 2019

Mekanik di Kuantan rugi RM14,740 ditipu ejen pelaburan Bitcoin



3 April 2019 (Kosmo Online)

KUANTAN - Seorang mekanik berusia 40 tahun kerugian RM14,740 selepas dijanjikan pulangan lumayan menerusi pelaburan mata wang kripto, Bitcoin dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek yang berasal dari Raub itu berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat iklan Bitcoin Investment Bisness FOC Club di laman Facebook.

"Pada 5 Mac lalu, mangsa menghubungi ejen pelaburan Bitcoin tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Paul dan menyatakan minat untuk melabur dalam pakej RM500.

"Suspek mengarahkan mangsa memasukkan RM500 ke dalam akaun milik individu tidak dikenali. Selepas mangsa memasukkan wang, dia dihubungi suspek yang memaklumkan pakej tersebut telah ditutup," katanya.

Ujar beliau lagi, lelaki itu kemudiannya ditawarkan pakej Diamond bernilai RM2,000 dan mangsa memasukkan RM1,500 ke sebuah akaun bank lain milik individu tidak dikenali sebelum sekali lagi dihubungi suspek.

Tambah Mohd. Wazir, semasa dihubungi buat kali ketiga, mangsa dimaklumkan pakej Diamond juga telah ditutup dan menawarkan pula empat jenis pakej lain yang memerlukan modal antara RM900 hingga RM6,100.

"Mangsa memilih pakej C dengan modal RM3,450 yang menjanjikan pulangan RM152,000. Selepas wang dimasukkan, mangsa dihubungi dan dimaklumkan telah meraih untung tetapi perlu menjelaskan yuran pengeluaran wang sebanyak RM7,760," katanya.

Mohd. Wazir menambah, mangsa memasukkan wang RM6,110 pada 15 Mac lalu tetapi diarahkan pula membayar cukai bank sebanyak RM3,160 sebelum menyedari ditipu.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam dan kes disiasat mengiku Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE



Sunday, 31 March 2019

Ditipu skim pelaburan kereta - 400 orang mangsa kerugian hampir RM20 juta


31 Mac 2019 (Kosmo Online)

KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat skim pelaburan kenderaan dekat sini didakwa menjalankan satu penipuan sehingga menyebabkan 400 orang mangsa menanggung kerugian hampir RM20 juta.

Seorang mangsa penipuan, Rashidi Johan, 65, mendakwa ramai mangsa terpedaya dengan pengurus syarikat tersebut yang berstatus ustaz yang dikenali sebagai Noordin sehingga sanggup melabur kereta mereka yang masih dalam pembiayaan pinjaman bank.


"Mengikut perjanjian dengan syarikat tersebut, setiap kereta yang dilaburkan itu akan mendapat profit setiap bulan dan penyelesaian pinjaman bank sepenuhnya selama lima tahun. 
"Namun masalahnya, apa yang dijanjikan tidak berlaku. Sudah berapa bulan pinjaman bank itu tidak dijelaskan dan ada diantara kami yang kereta mereka telah ditarik balik oleh pihak bank, " jelasnya kepada pemberita di Seri Kembangan hari ini. 

Tambahnya, syarikat tersebut menjalankan modus operandi dengan mengambil kereta dari pelabur dan menjual balik kereta-kereta tersebut kepada orang ketiga dengan harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran. 

"Buat masa ini bukan sahaja kami sebagai pelabur yang tertipu, malah pembeli kereta dibawah satu skim yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit juga tertipu. Mereka bayar tunai namun kereta tersebut ada masalah dengan bank. 

"Profit yang dijanjikan tertakluk pada jenis kereta, Perodua Axia misalnya profit sebulan yang dijanjikan adalah RM184 manakala model-model dari Honda boleh mencecah RM550 sebulan. 
"Buat masa ini pihak kami telah membuat 48 laporan polis dan usaha kami untuk berbincang dengan pengurus syarikat tersebut gagal,"ujarnya yang mengenali pelaburan tersebut dari kenalan rapat sejak Ogos 2017.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zambri, 62, berkata, ada dalam kalangan mereka yang menjelaskan baki pinjaman dengan duit sendiri bermula Ogos lalu. 
"Saya hanya sempat merasa profit tersebut selama 12 bulan, kemudian semuanya sudah tiada. Ramai mangsa adalah dari kalangan pesara dan penjawat awam. 

"Sekarang nama kami sudah "blacklist" di bank dan kami terpaksa menanggung segala hutang tersebut, saya sendiri turut melabur sebanyak enam biji kereta dan bayangkan berapa banyak saya perlu selesaikan dengan pihak bank," katanya. - K! ONLINE

31 Mac 2019 (Kosmo Online)

Link:https://malaysia-all.blogspot.com/2019/04/ditipu-skim-pelaburan-kereta-400-orang.html

Malaysia