Serbuan pukul 4.15 petang itu berjaya menahan tujuh warga tempatan ditahan membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 27 tahun.
Operasi itu dilakukan oleh sepasukan dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. 
Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, berdasarkan siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah mengiklankan tawaran pinjaman wang di media sosial dengan cara mudah tanpa melalui prosedur rumit.
Katanya, mereka yang telah beroperasi sejak enam bulan lalu itu mempunyai 95 kes di seluruh negara dengan kerugian RM638, 000 dengan 16 kes dilaporkan di sekitar negeri ini yang mengakibatkan kerugian RM140,000. 
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran pinjaman itu akan diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang kononnya sebagai bayaran peguam dan caj tertentu. 
"Bagaimanapun, selepas mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sindiket didapati tiada sebarang wang diterima oleh mangsa,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 
Fazlisyam menambah, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia 20 hingga 30 tahun yang memerlukan wang segera bagi menampung keperluan hidup.
Ujar beliau, golongan muda ini dijadikan sasaran susulan mudah terpedaya dengan tawaran sindiket ini. 
"Hasil siasatan turut mendapati rumah teres itu dijadikan tempat operasi sindiket sejak dua minggu lalu dan mereka  sentiasa berpindah-randah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
"Kesemua suspek juga diupah dengan bayaran RM1, 500 sebulan bagi menjalankan operasi mereka," katanya. 
Mengulas lanjut, Fazlisyam menjelaskan pihaknya turut merampas 14 buah telefon bimbit, 12 kad pengeluaran wang automatik (ATM), simkad (enam) serta dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton FLX.
"Ketujuh-tujuh suspek kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegas beliau. - K! ONLINE