31 Mac 2019 (Kosmo Online)
KUALA LUMPUR - Sebuah syarikat skim pelaburan kenderaan dekat sini didakwa menjalankan satu penipuan sehingga menyebabkan 400 orang mangsa menanggung kerugian hampir RM20 juta.
Seorang mangsa penipuan, Rashidi Johan, 65, mendakwa ramai mangsa terpedaya dengan pengurus syarikat tersebut yang berstatus ustaz yang dikenali sebagai Noordin sehingga sanggup melabur kereta mereka yang masih dalam pembiayaan pinjaman bank.
"Mengikut perjanjian dengan syarikat tersebut, setiap kereta yang dilaburkan itu akan mendapat profit setiap bulan dan penyelesaian pinjaman bank sepenuhnya selama lima tahun.
"Namun masalahnya, apa yang dijanjikan tidak berlaku. Sudah berapa bulan pinjaman bank itu tidak dijelaskan dan ada diantara kami yang kereta mereka telah ditarik balik oleh pihak bank, " jelasnya kepada pemberita di Seri Kembangan hari ini.
Tambahnya, syarikat tersebut menjalankan modus operandi dengan mengambil kereta dari pelabur dan menjual balik kereta-kereta tersebut kepada orang ketiga dengan harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
"Buat masa ini bukan sahaja kami sebagai pelabur yang tertipu, malah pembeli kereta dibawah satu skim yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit juga tertipu. Mereka bayar tunai namun kereta tersebut ada masalah dengan bank.
"Profit yang dijanjikan tertakluk pada jenis kereta, Perodua Axia misalnya profit sebulan yang dijanjikan adalah RM184 manakala model-model dari Honda boleh mencecah RM550 sebulan.
"Buat masa ini pihak kami telah membuat 48 laporan polis dan usaha kami untuk berbincang dengan pengurus syarikat tersebut gagal,"ujarnya yang mengenali pelaburan tersebut dari kenalan rapat sejak Ogos 2017.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zambri, 62, berkata, ada dalam kalangan mereka yang menjelaskan baki pinjaman dengan duit sendiri bermula Ogos lalu.
"Saya hanya sempat merasa profit tersebut selama 12 bulan, kemudian semuanya sudah tiada. Ramai mangsa adalah dari kalangan pesara dan penjawat awam.
"Sekarang nama kami sudah "blacklist" di bank dan kami terpaksa menanggung segala hutang tersebut, saya sendiri turut melabur sebanyak enam biji kereta dan bayangkan berapa banyak saya perlu selesaikan dengan pihak bank," katanya. - K! ONLINE
Link:https://malaysia-all.blogspot.com/2019/04/ditipu-skim-pelaburan-kereta-400-orang.html
No comments:
Post a Comment