BH Online (24.10.2019)
KUALA LUMPUR: Kenaikan Malaysia dalam tangga senarai Bank Dunia sebagai tempat terbaik menjalankan perniagaan akan meningkatkan tarikan dan keyakinan pelabur.
Laporan ‘Menjalankan Perniagaan 2020’ yang diedarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, menyenaraikan Malaysia pada tangga ke-12 di kalangan 190 ekonomi seluruh dunia, naik dari tempat ke-15 pada tahun sebelumnya.
Kedudukan terbaharu itu akan membantu kerajaan dalam mengenalpasti kesan pelaksanaan dasar serta menilai keberkesanannya.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor utama dalam peningkatan ini mungkin disumbangkan oleh tempoh masa yang lebih rendah bagi kelulusan pengawalseliaan, infrastruktur fizikal yang mantap serta ketersediaan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
“Saya rasa penarafan ini boleh dimajukan lagi, memandangkan kerajaan sekarang sedang mengutamakan pembaharuan institusi dan jika ia dilaksanakan dengan baik, akan lebih memudahkan perjalanan sesebuah perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tempoh yang lebih panjang diperlukan bagi tujuan meningkatkan angka tenaga kerja mahir di negara ini.
“Kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang berkemahiran rendah juga perlu dilakukan secara beransur-ansur memandangkan Malaysia perlu membina kapasiti yang akan meningkatkan permintaan ke atas tenaga buruh tempatan yang lebih mahir.
“Buat masa sekarang, kerajaan telah memperkenalkan #MalaysiaKerja melalui Belanjawan 2020,” katanya, sambil menambah bahawa inisiatif itu bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi golongan belia dan wanita termasuk untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang berkemahiran rendah.
Afzanizam menekankan bahawa pelaksanaan, daya tarikan dan pembelian di kalangan pemegang kepentingan adalah penting untuk membolehkan peralihan dilakukan dengan lancar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada awal bulan ini, memberitahu kerajaan menjangkakan inisiatif #MalaysiaKerja akan mewujudkan sejumlah 350,000 pekerjaan tambahan dalam tempoh lima tahun untuk rakyat Malaysia dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing membabitkan 130,000 pekerjaan.
Inisiatif ini akan menelan belanja sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dan dibahagikan kepada empat program iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja serta #PerantisKerja.
Inisiatif berkenaan diletakkan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seterusnya akan diintegrasikan dengan Skim Insurans Pekerjaan serta program pasaran buruh aktif yang lain.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dalam satu kenyataan hari ini mengaitkan kenaikan dalam tangga senarai Bank Dunia itu kepada kerjasama yang terhasil oleh sektor awam dan swasta serta komitmen dalam kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi meningkatkan kemudahan persekitaran perniagaan.
“Ini disokong pula oleh kepimpinan yang kukuh daripada PEMUDAH dan sumbangan nasihat daripada Kumpulan Bank Dunia,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment