Hari ini 58 tahun yang lalu, bermulanya mesyuarat tiga negara serumpun yang membawa kepada penubuhan Mafilindo.
Malaysia, Indonesia dan Filipina bertemu di Manila untuk memeterai kata putus menamatkan sengketa antara mereka yang tercetus susulan cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia yang berdaulat.
Indonesia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana melihat ianya sebagai satu bentuk neokolonisme, atau penjajahan bentuk baharu British di Nusantara, sementara Filipina terus gasak menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah mereka.
Maka mesyuarat diatur mempertemukan wakil Persekutuan Tanah Melayu, Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Ghazali Shafie; Indonesia diwakili Timbalan Menteri Luarnya, Dr. Suwito Kusumowidagdo; sementara Filipina menghantar Setiausaha Rendah Perkara-Perkara Luarnya, Salvador Lopez.
Susulan mesyuarat tersebut, terjadinya Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina pada 7 hingga 12 Jun di Manila, yang membawa kepada pertemuan ketua-ketua ketiga-tiga negara pada 31 Julai tahun sama.
Akhirnya, inisiatif yang dipanggil Pelan Macapagal ini memeterai perjanjian antara Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina maka terbentuklah pakatan digelar Mafilindo, gabungan nama ketiga-tiga negara terbabit.
Mafilindo kemudian sepakat memohon bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang kemudian menubuhkan United Nations Malaysia Mission (UNMAM) untuk mengutip pandangan rakyat Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak berhubung cadangan pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun, Mafilindo terbubar sebulan kemudian apabila Presiden Indonesia, Soekarno memarakkan kembali api Konfrantasi kerana berang dengan tindakan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pada 29 Ogos bahawa Malaysia akan dibentuk secara rasmi pada 16 September, sebelum hasil referendum suara orang Borneo diketahui.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Wikipedia
No comments:
Post a Comment