Pages

Saturday, 16 February 2019

Lembaga Tabung Haji (TH) membatalkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan & pengiring mahram

TH batal subsidi haji jemaah rayuan, pengiring tahun ini


Lembaga Tabung Haji (TH) membatalkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan mana-mana individu yang menjadi pengiring mahram, bagi mengerjakan haji tahun ini.


Dengan tindakan TH yang kali pertama dibuat tahun ini, bermakna semua jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mereka, dan mana-mana mahram yang menjadi pengiring perlu membayar penuh RM22,900, walaupun kali pertama mereka mengerjakan haji.

Pengumuman mengenai langkah terbaharu TH itu dijelaskan dalam laman Facebook ‘Official-Lembaga Tabung Haji’, semalam sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan netizen.


Seorang pengguna Facebook, yang menggunakan nama Sufikau mengemukakan soalan: “Bagaimana pula subsidi untuk yang membuat rayuan dan peneman mahram walaupun kali pertama juga pergi haji? Adakah kos yang sama?”


Menjawab soalan itu Official: Lembaga Tabung Haji berkata:

“Untuk makluman subsidi haji hanya diberikan kepada bakal haji yang terpilih bagi tahun semasa di mana tahun peruntukan adalah tahun ini 1440H/2019M dan yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.

“Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji. Terima Kasih.”


Menjawab persoalan dibangkitkan Ana Sabrina Ab Rahim, yang mengatakan pada tahun-tahun sebelum ini jemaah rayuan dan pengiring kali pertama diberi subsidi, Official: Lembaga Tabung Haji berkata:

“Untuk makluman, ini sejajar dengan peningkatan kos langsung pengendalian haji seperti kos penerbangan, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan, penginapan, sajian dan kos masyair. Tabung Haji memilih tahun ini kerana setelah berpuas hati bahawa syarat istitoah yang ditekankan beberapa tahun difahami oleh sebilangan besar umat Islam.”


Sebelum ini, bakal haji termasuk jemaah rayuan dan pengiring hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, dan jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.


Bagaimanapun, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini, kemudahan itu tidak lagi diberikan kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring mereka, walaupun tahun ini adalah kali pertama mereka mengerjakan haji.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan menanggung RM12,920 subsidi untuk setiap mereka yang menunaikan haji kali pertama.


Katanya, subsidi itu diberi walaupun dalam keadaan tertekan berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh Tabung Haji.

No comments:

Post a Comment